Dr. Mahathir Terus Tunduk

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat tunduk kepada DAP apabila tidak berani membantah pendirian parti itu yang berkeras mahu mewujudkan sebuah negara berkonsepkan ‘Malaysian Malaysia’.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, Dr. Mahathir seolah-olah mempunyai masalah kecelaruan personaliti memandangkan bekas Perdana Menteri itu dahulu merupakan antara individu yang tegas menolak prinsip yang diperjuangkan DAP itu.

Saya tidak fikir ini akan memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia dan terserah kepada rakyat untuk membuat penilaian mengenainya,” katanya.

Beliau mengulas berkenaan pendirian tegas Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tetap berpegang teguh mahu mewujudkan sebuah negara berkonsepkan ‘Malaysian Malaysia’ ketika perbahasan di sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

Penegasan Kit Siang itu juga menimbulkan tanda-tanya terhadap pendirian Dr. Mahathir memandangkan beliau pernah menolak DAP kerana prinsip ‘Malaysian Malaysia’.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ sememangnya menjadi teras perjuangan Kit Siang dan DAP sejak berpuluh tahun lalu yang antara lain seperti mahu menyamaratakan hak antara kaum dan agama atau dengan kata lain, tiada lagi kaum yang dominan serta menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang bukan bersifat ‘ceremonial’.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, beliau percaya kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus mempertahankan peruntukkan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan sekali gus tidak memberi ruang kepada konsep negara tersebut dilaksanakan.

“Peruntukan sedia ada di dalam Perlembagaan pada masa kini telah dapat memastikan keharmonian, perpaduan dan kestabilan di dalam negara kita,” katanya. – 21 Mac 2018.