Keluar Parti Kerana Kecewa Mahathir Utamakan DAP

Kecewa dengan sikap pucuk pimpinan yang dilihat lebih mengutamakan DAP menyebabkan 34 ahli Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kota Bharu, Kelantan dilapor meninggalkan parti itu menyertai PAS semalam.

Kumpulan itu diketuai Naib Ketua Bahagian PPBM Kota Bharu, Mohd. Nor Hasyim Che Min, Ketua Armada, Nik Mohd. Adhwa Nik Haris dan Ketua Serikandi, Normala Abdul Kadir.

Dalam kenyataannya, Nor Hasyim berkata, mereka telah hilang keyakinan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Bahagian PPBM Kota Bharu, Tan Sri Abdul Rasyid Abd Rahman.

Katanya, Mahathir lebih mengutamakan DAP dalam setiap tindakan dan keputusan parti.

“Kami juga kecewa dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan di Kelantan ini yang kelihatan amat sibuk berebut kerusi untuk bertanding berbanding berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Tambah Nor Hasyim, Pakatan Harapan tidak memiliki kekuatan diperingkat akar umbi tetapi bernafsu besar mahu bertanding di semua kerusi.

“Amanah (PAN) sebagai contoh kelihatan ingin membolot semua kerusi yang ada di Kelantan walaupun kekuatan mereka entah kemana,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan ahli parti itu (Bahagian Kota Bharu) khususnya akan lebih ramai bertindak demikian menjelang pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PPBM Kelantan Datuk Sazmi Miah dalam reaksinya berkata, tindakan tersebut tidak menjejaskan semangat perjuangan parti itu.

Malah katanya, ia membersihkan parti daripada ahli yang khianat dari dalam.

“Terlebih dahulu, kita bersyukur dengan tindakan ini, kita hanya mahu ahli yang mempunyai semangat ikhlas untuk berjuang dengan parti,” katanya. – 21 Mac 2018.