Pastikan BN Menang Dulu Sebelum Rancang Soal MB

Barisan Nasional (BN) Selangor perlu memastikan kemenangan parti itu terlebih dahulu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum merancang soal siapa yang akan menjadi Menteri Besar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN Selangor harus bekerja keras bagi merampas semula negeri itu dari pembangkang.

“Soal jawatan menteri besar tak payah berebut, kita boleh berunding letak calon yang layak dan dapat perkenan daripada Sultan Selangor, tapi yang penting menang dulu.

“Terjemahkan dukungan dan semangat di atas kertas undi semasa pengundian, kerana itu lebih penting bukan sekadar sorakan,” katanya.

Ahmad Zahid mengingatkan tiga perkara penting kepada jentera BN menjelang PRU14 antaranya melupakan hal remeh temeh, memperkukuhkan saf dalam kalangan anggota parti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Turut diingatkan, jentera BN harus menggunakan kaedah matang dan tidak membuat serangan peribadi terhadap mana-mana pemimpin.

“Kaedah kempen tak perlu sentuh peribadi seseorang dengan membunuh karakter, sebaliknya tunjuk kepada rakyat melalui kesinambungan dan kesejahteraan dengan pembangunan di kawasan yang diwakili dan buktikan pemimpin BN bukan wakil rakyat bermusim,” katanya. – 21 Mac 2018.