Pemuda BN Sambut Baik Umum Calon Awal

Pemuda Barisan Nasional (BN) Perlis menyambut baik langkah parti itu untuk mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lebih awal berbanding sebelum ini.

Pengerusi Pemuda BN negeri, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, kesediaan itu sekali gus menggambarkan tahap keyakinan BN untuk memenangi pilihan raya dengan cemerlang kali ini.

Dalam masa sama, Syed Atif juga berpandangan bahawa langkah itu akan memudahkan calon-calon baharu khususnya mempunyai masa lebih panjang untuk memperkenalkan diri kepada pengundi di sesuatu kawasan.

“Selain itu, pengumuman awal ini juga akan menjawab tanda-tanya dalam kalangan penggerak-penggerak parti selain membolehkan jentera BN bersatu di peringkat bawah dan menumpukan kepada kerja-kerja mendekati pengundi dengan lebih berkesan.

“Jadi, adalah suatu yang positif pengumuman lebih awal calon bagi memudahkan pengundi atas pagar mengenali calon dengan lebih dekat dan sekali gus membuat pilihan untuk menyokong BN,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan BN mungkin akan mengumumkan calon bagi PRU-14 lebih awal berbanding dua atau tiga hari sebelum PRU seperti diamalkan selama ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN dilaporkan berkata, langkah itu supaya BN dapat menyelesaikan masalah yang mungkin berlaku di sesuatu kawasan selain calon boleh bersedia awal. – 21 Mac 2018.