BN Umum Calon 2 April Ini

Senarai lengkap calon Barisan Nasional (BN) bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diumumkan pada 2 April ini iaitu lima hari sebelum pelancaran manifestonya yang dijangka pada 5 April.

Menurut laporan Berita Harian yang memetik sumber berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan senarai calon itu dalam satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata, semua 13 pimpinan kanan komponen BN akan hadir dan semua calon akan menerima watikah pencalonan daripada Najib.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan pengumuman calon dilakukan sebelum pelancaran manifesto BN.

“Mungkin umum calon lebih awal kerana pastinya BN sudah bersiap sedia untuk pilihan raya dan sudah bertemu dengan pengerusi badan perhubungan negeri,” katanya.

Jelasnya, Najib yang juga selaku Pengerusi BN sudah memuktamadkan senarai nama calon dan ia terpulang kepadanya untuk membuat pengumuman. – 22 Mac 2018.