Jika Diberi Mandat, Kerajaan BN Mampu Selesai Masalah Tanah adat Orang Asli

Masalah tanah adat Orang Asli di Gua Musang terus berlarutan selagi Kelantan diperintah oleh kerajaan PAS, kata Ahli Parlimennya Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, masalah tersebut boleh selesai dan kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu menyelesaikan proses mewartakan tanah adat kaum berkenaan jika diberi mandat memerintah negeri Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Masyarakat itu bimbang dengan keadaan yang berlaku sekarang hingga mengancam kehidupan masa depan mereka.

“Dan kerajaan negeri pula masih berdegil tidak mahu mewartakan tanah adat yang dituntut oleh kaum tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, hal ehwal berkaitan dengan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, maka mereka sepatutnya membuat pertimbangan yang adil dalam isu tanah adat Orang Asli.

“Kita (BN) akan meneliti perkara itu (tanah adat) jika dapat mandat memerintah negeri Kelantan selepas PRU14 nanti termasuk menimbang hak milik kepada individu kaum itu,” katanya.

Malah katanya, kerajaan pusat sentiasa memberi perhatian terhadap permasalahan Orang Asli dan memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek pembangunan sebagaimana yang mereka nikmati sekarang ini. – 22 Mac 2018.