Mazlan Aliman Ditahan Polis

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman dilaporkan ditahan oleh polis awal pagi ini berkaitan video you tube membabitkan beliau.

Mazlan memaklumkan perkara itu dalam satu catatan ringkas di Facebooknya dengan berkata “Saya ditahan polis di rumah jam 1.35 malam ni. Dibawa ke IPD Kulai”.

Difahamkan, beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi PAN ditahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Sebelum ini, satu laporan polis dibuat terhadap video YouTube di mana Mazlan didakwa menuduh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, terlibat dalam beberapa projek yang dirancang dan dilaksanakan oleh Felda.

Peguam Rosmah, NoorHajran Mohd. Noor, yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berkata, dakwaan sedemikian menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap Rosmah di kalangan warga maya selain merosakkan reputasi dan integriti anak guamnya.

Katanya, selepas berbincang dengan anak guamnya, beliau telah diarahkan untuk membuat laporan polis mengenai video berkenaan. – 22 Mac 2018.