Orang Asli Di Gua Musang Dihina Dengan Kata-Kata Kesat

Seorang lelaki dikatakan menghina masyarakat Orang Asli Kuala Wok dan Pos Pasik di Gua Musang, Kelantan dengan kata-kata kesat selepas tidak dibenarkan masuk ke kawasan mereka.

Perbuatan itu (menghina), dapat ditonton umum melalui rakaman video yang disiarkan sebuah portal berita online hari ini.

Menurut laporan portal berkenaan, selain menghina dengan kata-kata kesat, lelaki tersebut seolah-olah cuba untuk mengancam keselamatan penduduk terbabit.

“Kau ingat aku suka-suka masuk dalam ni, bukan main jauh lagi, pu**ek sungguh kamu semua ni.

“Kau nak tahu dua tiga hari lagi kamu tengok, celaka sungguh binatang ni,” kata lelaki tersebut seperti dilaporkan portal berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Jamali Ayu mendakwa, kedatangan lelaki bersama beberapa lagi rakannya yang lain itu dipercayai untuk meroboh sekatan yang dibina oleh penduduk terbabit.

Penduduk Orang Asli membina sekatan tersebut bagi menghalang aktiviti pembalakan dan pertanian durian Musang King.

“Mereka cakap nak jumpa ‘Cikgu Azhar’ dan wakil penduduk Orang Asli di kampung. Kemudian kita tanya apa tujuan nak masuk tapi mereka tidak beritahu.

“Selepas kita periksa, kita tengok ada dua mesin potong kayu. Bila kami tekan tanya, mereka keluarkan surat kata nak roboh sekatan dan kami halang mereka masuk.

“Kami rasa mereka itu bukan dari jabatan hutan atau wakil kerajaan negeri. Kami syak mereka itu wakil tauke balak, sebab mereka cakap sebelum ini mereka pernah roboh blockade,” katanya.

Menurut laporan portal itu lagi, antara kata-kata kesat yang dilemparkan ialah “Orang Asli jahanam” dan “celaka Orang Asli”.

Kumpulan Orang Asli Kelantan melakukan sekatan di beberapa laluan ke kawasan pembalakan di Gua Musang sejak 13 Februari lalu. – 23 Mac 2018.