Penduduk Resah Hadapi Masalah Air Kian Kritikal

Masalah air yang berlarutan sejak 10 tahun lalu, kini kian meresahkan hampir 2,000 penduduk Kampung Rawa, Guar Sena, Bechah Parang dan Kampung Baru di Tanah Merah Kelantan.

Lebih menyukarkan mereka tatkala dibelenggu dengan masalah tersebut ialah apabila berlakunya kematian dan majlis kenduri.

Bahkan, turut mengecewakan mereka terpaksa membayar bil air walaupun perkhidmatan yang diberikan oleh agensi yang berkaitan itu sangat tidak memuaskan.

Wakil penduduk, Ezani Zakaria, 36, berkata, tekanan air rendah di kawasan terbabit menjadi masalah kepada mereka walaupun paip sudah diganti baharu.

Menurutnya, sistem paip yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bernilai RM4 juta tidak boleh digunakan akibat masalah berkenaan.

“Kami terpaksa bayar bil air, namun bekalan air tiada dan keadaan ini amat memenatkan kerana kami terpaksa bangun sekitar jam 2 hingga 4 pagi untuk menadah air yang hanya ada pada ketika itu, dan itu pun dalam kuantiti yang amat sedikit,” katanya.

Dia berkata, ada sesetengah penduduk terpaksa mendapat pertolongan jiran yang mempunyai telaga bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.

“Ada yang terpaksa angkut air dari rumah jiran yang ada telaga, ini amat menyiksakan,” katanya sambil merayu agar pihak berkenaan menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar segera.

Terdahulu, Ezani bersama beberapa penduduk terbabit mengadakan perhimpunan aman menuntut pihak berkenaan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Ir Wan Mohd. Zamri Wan Ismail dalam reaksinya dilaporkan berkata, pihaknya sedang melaksanakan kerja-kerja membekalkan air bersih kepada penduduk terlibat.

“Untuk makluman, bekalan air yang disalurkan adalah dari Loji Bukit Remah melalui Tangki Setambung Tulang dan langkah awal yang diambil adalah dengan menyediakan ‘pam booster’.

“Namun bekalan air tidak mencukupi disebabkan penghantaran air bersih ke Temangan sebanyak tiga juta liter sehari dan permintaan di Bechah Laut adalah 1.5 juta liter sehari,” katanya.

Tambahnya, AKSB kini sedang giat melaksanakan projek Loji Merbau Chondong yang dijangka siap pada April 2018.

Katanya, projek tersebut mampu membekalkan sehingga 75 juta liter air sehari dan akan digunakan untuk penghantaran air ke Temangan menggunakan Tangki Kweng Hitam, di Machang. – 23 Mac 2018.