‘Manifesto Rakyat Kelantan’

Kira-kira 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri Kelantan bergabung mengemukakan ‘manifesto’ sendiri yang dinamakan ‘Manifesto Rakyat Kelantan’ bagi menyedarkan parti-parti politik di negeri itu memahami serta mendengar suara hati rakyat.

Manifesto itu dihasilkan lantaran kekecewaan masyarakat dengan keadaan negeri yang dilihat ‘kaku’ terutama dari sudut pembangunan hasil negeri dan peluang pekerjaan.

Wakil gabungan NGO terbabit, Datuk Abdul Hallim Hamad berkata, manifesto yang menggariskan enam bidang utama meliputi 50 perkara itu akan diserahkan kepada parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini secepat mungkin.

“Kita berharap ia akan digunapakai oleh parti politik yang menang kelak dalam perancangan pembangunan negeri.

“Dan juga digunakan sebagai panduan untuk kepentingan rakyat Kelantan bagi menjamin masa hadapan,” katanya selepas program Himpunan Ummah Kelantan 2018 – Membentuk Manifesto Rakyat Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Enam bidang utama manifesto tersebut ialah agama, ekonomi, pendidikan, sosiobudaya, pelancongan dan perundangan.

Abdul Halim berkata, Kelantan boleh dibangunkan setanding dengan negeri-negeri lain memandangkan negeri itu kaya dengan sumber alam.

“Sebagai contoh aspek pelancongan, ia sepatutnya dibangunkan supaya dapat hasilkan pendapatan dan mewujudkan pekerjaan kepada penduduk,” katanya.