Zamannya Sudah Berlalu, Lebih Baik Fikir Soal Akhirat Kata Mohd. Amar Kepada Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad dinasihatkan supaya lebih memikirkan soal akhirat berbanding politik untuk kembali memimpin negara.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, dalam usia Mahathir yang sudah lanjut ia tidak membawa kebaikan bagi dirinya dan negara.

“Zaman dia (Mahathir) sudah berlalu, dan dalam usianya, lebih wajar beliau memikirkan soal akhirat,” katanya ketika berucap pada program Himpun 3.0 di Terengganu malam tadi.

Mohd. Amar berkata, jika Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, politik negara ini akan menjadi semakin berat dan merosakkan.

“Fikirlah dari segi logik akal juga, kenapa terlalu sibuk nak dicalonkan sebagai Perdana Menteri sedangkan tarikh pilihan raya belum tahu lagi dan kemenangan belum pasti.

“Ini diumpamakan bini (kahwin) belum lagi, tapi dah asyik sibuk nak beri nama anak,” katanya.

Sementara itu, semasa menjawab soalan pemberita mengenai pengumuman calon PAS untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) beliau berkata, ia belum dibincangkan lagi.

“Belum bincang, biasalah amalan kita akan umumkan calon selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar,” katanya. – 24 Mac 2018.