BN Hargai Tugas Polis, Tidak Seperti ‘Pemimpin Berusia 93 Tahun’

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas “pemimpin berusia 93 tahun” yang menyalahkan polis sehingga mendorong kepada pemecatan Anwar Ibrahim kira-kira 20 tahun lalu.

Tindakan tersebut kata Najib, jelas bertentangan dengan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menghargai tugas polis dalam menjaga keselamatan negara.

“Terbaru pula ada bekas pemimpin yang sudah berumur 93 tahun mendakwa polis kononnya yang bertanggungjawab dan bersalah kerana mendorong beliau memecat timbalan perdana menteri pada 1998, ” katanya.

“Dakwaannya itu sudah pun dijawab oleh Rahim Noor yang juga ketua polis negara ketika itu yang memaklumkan polis tidak mempunyai kuasa daripada segi undang-undang untuk memecat sesiapa pun,” kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 di Pusat Latihan Polis hari ini.

Walaupun tidak menamakan individu berkenaan, umum menjangkakan ia merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Baru-baru ini, Mahathir dilaporkan mendakwa polis yang mendorong dirinya sebagai Perdana Menteri untuk memecat Timbalannya pada waktu itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan atas kesalahan rasuah dan liwat pada 1998.

Dalam temu bual eksklusif bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengambil tindakan terhadap Anwar setelah polis mengemukakan semua buk­ti kepadanya.

Pada November lalu, beliau turut menuduh polis yang menjadi penyebab peristiwa Ops Lalang 1987 yang menyaksikan 106 orang terdiri daripada aktivis awam, pemimpin agama, peguam serta pemimpin politik ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Rahsia Rasmi. – 25 Mac 2018.