Jangan Marah Jika Turut Dikritik

Seseorang pengkritik yang suka mencerca ketika melontarkan sebarang kritikan tidak seharusnya beremosi atau marah sekiranya hal yang sama dilakukan terhadapnya.

Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan, ahli akademik supaya lebih berhati-hari dalam mengkritik dengan memilih bahasa yang sesuai, bukan memaki atau mencerca.

“Jika ada yang mengaku sebagai ahli akademik tetapi berat sebelah, suka mencerca dan menggelar orang lain, maka dia tidak wajar membantah jika hal yang sama dilakukan kepadanya.

“Jika seseorang yang mengaku sebagai ahli akademik itu selalu menggelar dan mencerca orang selama ini, kemudian dia pula dipanggil pelbagai gelaran seperti ‘prof kangkung’, ‘telan ubat gegat’, ‘lembab’, ‘talam dua muka’, ‘terkucil’, ‘otak kurang sihat’ dan seumpamanya, maka dia mungkin boleh mempelajari makna berat sebelah, maki hamun dan mencerca dan menggelar orang lain yang menjadi amalannya selama ini.

“Ia juga mungkin kemustajaban doa orang-orang yang dimaki, dikhianati dan dicerca selama ini,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.

Mohd. Asri tidak menyebut nama ahli akademik yang dimaksudkan namun, kenyataan beliau itu dibuat ketika media sosial sarat dengan kritikan terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul merupakan salah seorang panelis wacana  yang membincangkan tajuk ‘Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?’ Khamis lalu, yang turut menyaksikan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Susulan itu, keratan video yang memperlihatkan bagaimana Kamarul pada mulanya lantang mengkritik bekas perdana menteri itu terpaku selepas ketibaan Mahathir dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Ali, turut tersebar meluas.

Menerusi kenyataan yang sama, beliau turut berkata, dalam dunia ilmiah dan pemikiran, tindakan mengkritik adalah tidak salah namun kritikan itu hendaklah adil.

“Tidak salah untuk membantah dan mengkritik sesiapapun selain Allah dan RasulNya. Agamawan ataupun negarawan, pemimpin ataupun rakyat semuanya terdedah kepada kritikan. Mereka bukan maksum.

“Demikian juga kita. Namun paksi kritikan itu hendaklah adil dan jujur terhadap fakta yang kita kemuka dan pertahankan.

“Tidak sentiasa berat sebelah ataupun hanya menjadi jurucakap untuk sesebuah kumpulan politik semata,” katanya. – 25 Mac 2018.