Wacana Hanya Untuk Mempromosi Mahathir – Fathul Bari

Tindakan penyokong dan pentaksub Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerang peribadi serta memperlekeh Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusof yang dikatakan ‘terkucil’ ketika bekas Perdana Menteri itu muncul dalam sebuah forum kelmarin disifatkan sebagai keterlaluan.

Dalam masa sama, Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya juga melihat wacana yang dianjurkan Sinar Harian itu hanyalah bertujuan untuk mempromosikan Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP itu semata-mata.

Katanya, sepanjang wacana tersebut berlangsung, beliau tidak melihat Kamarul Zaman mengeluarkan perkataan berbentuk mencela atau mengeji Dr. Mahathir sebaliknya ahli akademik berkenaan telah memberikan pandangan dan hujah yang bernas mengenai kekangan usia calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan itu.

“Kamarul Zaman telah memberi hujah dan pandangan yang bernas berdasarkan pembuktian, jadi apa masalahnya?.

“Kalau tidak boleh terima (penyokong Dr. Mahathir) janganlah sampai ke tahap memperlekeh dan menghina seseorang itu,” katanya.

Keberanian Kamarul Zaman membuka fakta mengenai kemampuan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menjadi Perdana Menteri pada usia 93 tahun dalam sebuah forum baru-baru ini telah mencuri perhatian dalam media sosial.

Meskipun terdapat golongan yang mencerca Kamarul Zaman menerusi laman media sosial namun banyak juga persoalan ditimbulkan mengenai faktor usia calon Perdana Menteri Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu berikutan hampir mencecah satu abad.

Kamarul Zaman ketika forum tersebut menggariskan 10 kayu ukur untuk menentukan kemampuan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada usia 93 tahun, iaitu perundangan, fizikal, genetik, mental, psikologi, moral, demografik, intelektual, falsafah dan semangat.

Menurut Kamarul Zaman, Dr. Mahathir hanya berkemampuan dalam satu aspek, iaitu perundangan.

Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, beliau tidak melihat Kamarul Zaman takut ketika berhadapan dengan Dr. Mahathir dalam forum berkenaan sebaliknya pensyarah tersebut terus konsisten memberikan idea dan pandangan bernas sebagai seorang ahli akademik. – 25 Mac 2018.