Bersih 2.0 Protes Laporan Persempadanan Semula

Kumpulan Bersih 2.0 pagi ini berhimpun di Tugu Negara bagi memprotes laporan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Anggota polis dikerahkan mengawal di sekitar Tugu Negara dan di sepanjang jalan menuju ke Parlimen.

Laporan persempadanan semula itu dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pukul 11.30 pagi ini.

Kumpulan Bersih 2.0 bercadang menyerahkan satu memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, meminta beliau menarik balik laporan berkenaan.

Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Yunos dilaporkan mahu mengerahkan 10,000 aktivis mereka untuk menghalang Bersih 2.0.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Bersih tidak diberikan permit untuk mengadakan bantahan di luar bangunan Parlimen.

“Kedua-dua pihak tidak memohon permit untuk mengadakan protes mereka, tetapi polis akan bersiap sedia. Kami akan mengambil langkah sewajarnya dan memantau keadaan supaya tiada apa berlaku,” katanya. – 28 Mac 2018.