Husam Mahu Kerajaan PAS Kelantan Jawab Sebelum Dewan Dibubarkan

Husam Musa mendakwa kerajaan PAS Kelantan tidak menjawab soalan beliau berhubung senarai kes-kes saman yang dihadapi kerajaan negeri serta anak-anak syarikat milik kerajaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir semalam.

Beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, dalam soalan yang sama turut meminta kerajaan menjelaskan kos yang terpaksa ditanggung berikutan kes-kes saman itu.

Kata beliau, soalan tersebut merupakan antara satu daripada empat soalan bertulis yang dikemukakannya kepada pihak kerajaan.

“Saya membangkitkan perkara ini berdasarkan peraturan dewan yang menghendaki pihak kerajaan menjawab semua soalan ahli dewan dan jika ahli tidak berpuashati mereka boleh meminta jawapan itu dibuat semula.

“Saya mahu perkara ini diselesaikan sebelum dewan dibubarkan kerana ini untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Sidang DUN Kelantan yang berakhir semalam menyaksikan sejarah tersendiri apabila persidangannya hanya berlangsung dalam masa yang paling pendek.

Pada hari pertama speaker DUN menangguhkan sidang kira-kira pukul 10.45 pagi dan hari kedua pula kira-kira-kira pukul 11 pagi selepas ia bermula pada pukul 9 pagi. – 28 Mac 2018.