Gelombang BN Semakin Dirasai Di Kelantan

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin melihat lima gelombang besar yang telah berlaku tidak memustahilkan keajaiban bakal tercipta dalam kalangan pengundi di Kelantan untuk mengubah kerajaan di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Malah angin perubahan itu semakin dirasai menjelang PRU14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

“Pertama, mana-mana kawasan yang kita pergi di negeri ini sambutan oleh penduduk sangat besar. Kedua, pengundi luar (perantauan) sudah mula yakin dengan BN.

“Ketiga, kita berjaya mengurangkan masalah dalaman parti yang pernah berlaku sebelum ini. Keempat, penampilan dan muka baharu calon BN yang bakal diketengahkan pada PRU-14 kali ini dan yang terakhir, masalah parti lawan yang berlaku tanpa pernah kita duga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Ramah Mesra bersama Pemuda BN di Kota Bharu, Kelantan.

Khairy berkata, sudah tiba masanya rakyat Kelantan membuat perubahan kerana ‘ribut sempurna’ hanya datang sekali.

PRU14 mungkin akan diadakan Mei ini dengan pembubaran Dewan Rakyat dijangka berlaku pertengahan April.

Pemerhati politik meramalkan pembubaran Dewan Rakyat akan berlaku selepas usul persempadanan semula yang diluluskan pada 28 Mac lepas.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan PRU14 akan diadakan sebelum umat Islam mengerjakan haji pada Julai depan.

Mandat bagi penggal ini hanya akan berakhir pada 24 Jun. – 30 Mac 2018.