Jangan Burukkan Lawan Semasa Kempen – Khairy

Jentera Barisan Nasional (BN) di negeri ini diingatkan agar tidak mengambil pendekatan dengan memburukkan pihak lawan ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagaimana diamalkan parti pembangkang.

Peringatan itu dibuat Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang turut menyeru supaya menggunakan pendekatan menceritakan kebaikan yang parti BN ingin lakukan.

“Strategi kempen yang kita hendak lakukan mestilah meyakinkan rakyat. Jadi, kita hendaklah ceritakan apa yang BN ingin lakukan khususnya kepada golongan muda.

“Contohnya, seperti isu perumahan mampu milik yang menjadi cabaran kepada anak muda dan apa yang BN cuba tawarkan dan sudah lakukan seperti yang pernah diperjuangkan oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang memperjuangkan pembinaan 1,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan bandar Kota Bharu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Ramah Mesra bersama Pemuda BN di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, strategi itu mampu memberi kesan lebih baik kepada pengundi kelak.

Katanya, semua jentera BN harus bulatkan tekad, kuatkan semangat bagi memastikan perubahan sampai di negeri itu.

“Biar gelombang biru sampai ke Parlimen Kota Bharu,” katanya. – 30 Mac 2018.