Kelantan Negeri Tertinggi Memohon RMR1M

Kelantan negeri tertinggi rakyatnya memohon untuk memiliki Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M), kata Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin.

Beliau berkata, berdasarkan statistik 2018, sebanyak 11,670 permohonan diterima dari negeri Kelantan dan sebanyak 7,155 permohonan diluluskan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,240 unit RMR1M telah siap dibina dan 758 unit dalam proses pembinaan.

“Manakala 157 permohonan lagi sedang dalam peringkat dokumen perjanjian,” katanya ditemui pada Majlis Ramah Mesra Penerima RM1M dan penyerahan sijil kelayakan Subsidi di Kompleks Uthmaniyah Pulau Lima, Pasir Puteh, Kelantan hari ini.

Di kawasan Parlimen Pasir Puteh sebanyak 1, 308 permohonan RMR1M diterima. Daripada jumlah itu 833 permohonan diluluskan dan 699 unit telah berjaya disiapkan,

Manakala 123 unit masih dalam proses pembinaan dan 11 permohonan dalam peringkat penyediaan dokumen perjanjian.

Sementara itu, 135 permohonan  masih dalam senarai menunggu.

Mohamed Hasnan berkata, sebanyak RM449.24 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan RMR1M di seluruh Kelantan dan daripada jumlah itu sebanyak RM141.90 juta subsudi diberikan kepada pemohon yang layak.

Menurutnya, program RMR1M mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat menyebabkan jumlah permohonan melebihi peruntukan tahunan yang disediakan kerajaan pusat.

“Perkara ini secara tidak langsung telah menyebabkan terdapatnya permohonan yang memenuhi syarat-syarat kelayakan tidak dapat dilaksanakan pada tahun semasa. Terdapat 12, 401 permohonan yang masih dalam senarai menunggu di seluruh negara.

“Ianya akan diurus sebaik mungkin bagi mencapai aspirasi Kerajaan Persekutuan dan hasrat pucuk pimpinan negara untuk menyediakan kediaman yang selesa kepada rakyat dengan pemdekatan mampu milik serta sebahagiannya diberi subsudi oleh kerajaan,” katanya. – 30 Mac 2018.