Sukan Malaysia Di Kelantan?

Kelantan tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2022, itu janji Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) diberi mandat memerintah negeri itu.

Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat negeri itu melakukan perubahan bagi memajukan sukan di Kelantan.

“Kita bukan buat janji PRU (pilihan raya umum), tapi kita telah buktikan pembangunan terus dinikmati di Kelantan dan Kompleks Sukan Komuniti bernilai RM4.5 juta akan dibina dalam masa terdekat di Tanah Merah.

“Saya berjanji sebagai Menteri Belia dan Sukan apabila Kelantan jadi milik BN, maka Sukma akan dianjurkan di negeri ini sebagai tuan rumah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah, Kelantan hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

IKBN Tanah Merah yang dibina dengan kos RM54 juta itu mampu menampung seramai 500 pelatih pada satu-satu masa dengan tiga kursus ditawarkan iaitu elektrikal, tekstil dan reka bentuk produk industri.

Beliau berkata, selain kursus jangka panjang, IKBN Tanah Merah turut menawarkan kursus jangka pendek di bawah Program Boot Camp dan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Sempena majlis itu, Khairy turut merasmikan Briged Gempur 2314 Pemuda BN Kelantan yang akan memberi fokus kepada jentera sayap pemuda berkaitan kerja-kerja pilihan raya. – 30 Mac 2018.