Ungkapan ‘Kalau Saya Tuhan’ Jejaskan Akidah

Ungkapan ‘kalau saya tuhan’ sangat bahaya kepada akidah umat Islam kerana ia dikhuatiri akan merendahkan penciptaan sekali gus menafikan hikmah ciptaanNya.

Malah, ungkapan tersebut seolah-olah membawa makna apa yang dilakukan tuhan selama ini tidak tepat atau salah.

Mufti Perlis Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, ungkapan sedemikian sangat bahaya kepada akidah orang yang mengucapnya sekiranya berada dalam keadaan sedar dan ia perlu bertaubat.

“Seorang Muslim hendaklah berhati-hati dalam ungkapannya yang berkaitan ketuhanan. Tidak boleh seseorang muslim berkata ‘jika awak tuhan’ atau ‘jika saya tuhan’ melainkan diikuti dengan ungkapan yang menunjukkan keagungan tuhan.

“Namun, jika dia mengungkap ‘jika saya tuhan saya akan lakukan begini…’ atau ‘jika saya tuhan, saya tidak akan lakukan begitu atau begitu…’, maka itu secara langsung dan tidak langsung merendah penciptaan tuhan dan menafikan hikmah ciptaannya.

“Seakan apa yang tuhan lakukan tidak tepat ataupun salah ataupun di sana ada cara yang lebih baik.

“Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat dari ucapan itu,” katanya.

Ungkapan ‘kalau saya tuhan’ menghangatkan sidang Dewan Rakyat semalam selepas Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) menegur Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin berlagak seperti tuhan kerana boleh menjangkakan Pakatan Harapan (PH) akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Keadaan bertambah hangat apabila Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) turut mencelah bagi mempertikaikan ungkapan Hanipa itu.

Hanipa menjelaskan bahawa beliau bukan tuhan dan kalau beliau adalah tuhan, Abdul Azeez tidak akan diciptakan.

“Kalau saya tuhan, nasib baik saya bukan tuhan, kalau saya tuhan dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Tapi sebab saya tak (bukan) tuhan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar.

Kenyataan Hanipa itu mendorong Khairuddin bangkit untuk menasihati Hanipa kerana ia membabitkan isu agama.

Bagaimanapun Hanipa enggan memberi laluan kepada Khairuddin untuk mencelah dan menegaskan beliau menggunakan ungkapan “kalau” dalam ucapannya. – 30 Mac 2018.