BN Yakin Tawan DUN Kota Lama

Barisan Nasional (BN) mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama daripada PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) dengan usaha keras jentera BN.

Ahli Jawatankuasa Pemuda MCA Pusat Chua Hock Kuan berkata, biarpun DUN Kota Lama telah menjadi milik PAS sejak 1999, namun tidak mustahil bagi BN untuk merampas kembali kerusi itu berdasarkan prestasi parti itu dalam memahami aspirasi rakyat semua kaum.

“Sabar, saya percaya peluang kita cerah, saya nampak ada cahaya kerana kita ikhlas bekerja untuk bantu rakyat.

“Kita perlu jelaskan kepada rakyat bahawa PAS ini bukan agama tetapi sebuah parti politik sama seperti UMNO dan BN, ibaratnya PAS dan UMNO sama-sama jual ‘etok’ tetapi PAS guna umpan agama dan syurga untuk tarik pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Perjumpaan Khas dan Amanat Pilihan PRU 14 Bersama Jentera Pilihan Raya DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Kota Bharu di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Hadir sama, Pengarah Operasi PRU-14 BN Malaysia, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Beliau yang didakwa bakal calon bagi kerusi tersebut berkata, pihaknya sudah menjejak hampir setiap pengundi dan sambutan rakyat terutama bukan Melayu menunjukkan BN berada pada landasan terbaik.

Sementara itu, Mohamad Fatmi mengingatkan, beban untuk memenangi kerusi bukan teletak atas bahu calon yang dipilih semata-mata tetapi tanggungjawab itu terpikul atas bahu kesemua penggerak jentera parti.

“Justeru, seluruh jentera harus bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN,” katanya yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Kota Bharu – 31 Mac 2018.