Guan Eng Tolak Undangan Forum Bincang Isu Terowong

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menolak undangan untuk menyertai forum bagi membincangkan projek terowong dasar laut dan jalan raya bernilai RM6.3 bilion malam tadi.

Forum berkenaan menampilkan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To,

Wee dan See-To membicarakan berkenaan projek terowong itu dengan menyentuh bagaimana kerajaan negeri menganugerahkan projek prasarana besar itu kepada sebuah syarikat 82 hari, bercanggah dengan dakwaan sebelum ini yang mengatakan syarikat bertujuan khas itu mempunyai modal berbayar RM4.5 bilion.

Sementara itu, See-To menunjukkan gambar tular Guan Eng bersama seorang ahli perniagaan yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan ke atas dakwaan bayaran RM19 juta untuk menghentikan siasatan ke atas projek itu.

Wee sebelum ini mencabar Guan Eng berdebat isu berkenaan projek terowong dan jalan raya itu tetapi ditolaknya dengan alasan hanya mahu berdebat dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Jalan Pangkor di George Town dan Bagan Ajam di Butterworth.

Pembinaannya dijangka bermula pada 2023.

Tiga jalan raya itu pula dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan simpang Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km). – 31 Mac 2018.