Hanipa Tidak akan Tarik Balik, Cadang Saman Komentar Golongan Agama

Biarpun didesak banyak pihak supaya menarik balik dan memohon maaf berhubung ungkapan ‘jika saya tuhan’ namun Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin bertegas tidak akan berbuat demikian.

Malah kata Hanipa, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap komentar golongan agama mengenai kenyataannya itu di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Beliau berkata, golongan agama yang mahu membuat sebarang komen sepatutnya mendengar penuh kandungan ucapannya itu di Parlimen sebelum menjatuhkan hukum.

“Untuk golongan agama yang jatuhkan hukum ke atas saya secara tidak adil, saya tidak teragak agak untuk menyaman anda!

“Bagi saya, bila golongan agama yang begitu cepat keluarkan hukum ke atas seseorang seperti saya dalam keadaan mereka tak pernah berhubung dengan saya dan paling kurang membaca keseluruhan ucapan saya.

“Saya anggap mereka lagi berbahaya dari golongan yang jahil. Kenapa? Sebab mereka bagi saya, ada ilmu tapi malangnya tak guna ilmu dengan betul. Maaflah jika saya kasar sikit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ungkapan ‘kalau saya tuhan’ menghangatkan sidang Dewan Rakyat Khamis lalu selepas Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) menegur Hanipa berlagak seperti tuhan kerana boleh menjangkakan Pakatan Harapan (PH) akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Keadaan bertambah hangat apabila Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) turut mencelah bagi mempertikaikan ungkapan Hanipa itu.

Hanipa menjelaskan bahawa beliau bukan tuhan dan kalau beliau adalah tuhan, Abdul Azeez tidak akan diciptakan.

“Kalau saya tuhan, nasib baik saya bukan tuhan, kalau saya tuhan dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Tapi sebab saya tak (bukan) tuhan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar.

Kenyataan Hanipa itu mendorong Khairuddin bangkit untuk menasihati Hanipa kerana ia membabitkan isu agama.

Susulan itu, Mufti Perlis Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin dalam responnya berhubung perkara itu berkata, ungkapan sedemikian sangat bahaya kepada akidah orang yang mengucapnya sekiranya berada dalam keadaan sedar dan ia perlu bertaubat.

“Seorang Muslim hendaklah berhati-hati dalam ungkapannya yang berkaitan ketuhanan. Tidak boleh seseorang muslim berkata ‘jika awak tuhan’ atau ‘jika saya tuhan’ melainkan diikuti dengan ungkapan yang menunjukkan keagungan tuhan.

“Namun, jika dia mengungkap ‘jika saya tuhan saya akan lakukan begini…’ atau ‘jika saya tuhan, saya tidak akan lakukan begitu atau begitu…’, maka itu secara langsung dan tidak langsung merendah penciptaan tuhan dan menafikan hikmah ciptaannya.

“Seakan apa yang tuhan lakukan tidak tepat ataupun salah ataupun di sana ada cara yang lebih baik.

“Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat dari ucapan itu,” katanya. – 31 Mac 2018.