Dr. Mahathir Perlekeh Sistem Parlimen ?

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati mengenai laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya melepaskan kemarahannya itu dengan memperlekeh sistem Parlimen Malaysia apabila menyifatkannya sebagai ‘Parlimen sandiwara’ dan tempat main-main.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP mempersoal kononnya wakil-wakil pembangkang tidak diberi lebih masa untuk berbahas mengenai rang undang-undang tersebut ketika sesi Dewan Rakyat.

“Cukup teruk (persempadanan semula kawasan pilihan raya) hanya lulus dalam tempoh dua jam. Parlimen ini kita tidak boleh cakap apa-apa pun, yang boleh bersuara hanya Speaker.

“Kita perlu tukar, ini Parlimen sandiwara, Parlimen main-main sahaja,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir terus mengulangi cerita lama memburuk-buruk kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam masa sama, bekas Perdana Menteri itu juga menuduh PAS sudah dibeli oleh UMNO termasuk menerima wang daripada parti itu sedangkan PAS sebelum ini sudah menjelaskan mereka tidak pernah mengadakan sebarang kerjasama politik dengan UMNO. – 1 April 2018.