Hapus GST, Pakatan Harapan Masih Gagal Beri Jawapan Meyakinkan

Berjanji memang mudah, bulan dan bintang juga boleh dipetik untuk diberikan kepada rakyat.

Begitulah juga Pakatan Harapan diketuai DAP yang hanya pandai berjanji namun apabila ditanya mengenai kaedah-kaedah bagi merealisasikannya terutama mengenai tawaran dalam Manisfesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), mereka masih gagal memberi jawapan meyakinkan.

Ketika ditanya mengenai sumber yang bakal diperolehi jika menghapuskan GST, Presiden PAN, Mohamad Sabu baru-baru ini dilihat terus berdolak-dalih apabila memaklumkan kelompongan hasil sebanyak RM20 billion jika cukai berkenaan dihapuskan dapat diganti dengan sumber didakwa dari kebocoran pemimpin Barisan Nasional (BN).

Dalam masa sama, beliau juga memberi jawapan bahawa pengalaman Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bakal menjadi Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan akan menyusun semula bentuk Kabinet dan perbelanjaan sia-sia itu dapat dikurangkan.

“Malah ramai juga ahli-ahli ekonomi kami telah memberi pandangan hilangnya lebih RM40 billion GST itu dapat diganti dan pembangunan akan berjalan seperti biasa dan lebih hebat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan daripada wakil Bank Dunia baru-baru ini yang turut tidak yakin dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Manisfesto Pakatan Harapan diketuai DAP yang antara lainnya menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika berjaya menguasai kerajaan pada Pilihan PRU-14 selain beberapa janji lain yang dilihat tidak masuk akal. – 1 April 2018.