Kena Akur Keputusan Pemimpin – Mustapa

PENDEKATAN lebih berhati-hati akan diambil oleh UMNO Kelantan bagi menangani individu atau pihak yang kecewa kerana tidak dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, apabila calon bagi PRU14 diumumkan, kekecewaan individu tidak terpilih sebagai calon merupakan situasi yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, perkara itu dipandang serius dan antara pendekatan akan diambil ialah bertemu dan cuba memujuk mereka termasuk memberi penekanan tentang konsep wala’ atau taat setia kepada parti serta pemimpin.

“Dalam pemilihan calon, hanya seorang daripada lima nama yang dikemukakan yang akan dipilih. Empat lagi tidak dipilih. Yang tidak dipilih pasti akan kecewa.

“Badan Perhubungan UMNO memang berusaha menangani situasi ini. Kita akan adakan pertemuan dengan mereka. Apa jua keputusan pemimpin kita kena akur,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Wacana Suara Akar Umbi Rakan IT, Anak Muda dan Warga Komuniti 1Malaysia (K1M) Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengarah Penerangan negeri, Azahar Ismail.

Mustapa yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian bagi mengulas situasi terkini di Kelantan yang memperlihatkan banyak pihak menawarkan diri atau melobi untuk menjadi calon mewakili BN dalam PRU-14.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha untuk menang di Kelantan pada PRU14 boleh disifatkan sebagai misi hidup mati UMNO dan BN selepas negeri itu sekian lama diperintah PAS.

“Kita sudah berjuang terlalu lama iaitu hampir 28 tahun dan kita mahu melihat perubahan berlaku di Kelantan. Oleh sebab itu, kita akan berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan milik BN,” katanya. – 1 April 2018.