Malaysia Contoh Terbaik Cerminkan Islam – Imam Masjidilharam

Imam Besar Masjidilharam, Sheikh Dr. Abdulrahman Abdul Aziz Al-Sudais antara tokoh Islam yang sangat dihormati. Ketika bertemu wartawan Malaysia di Mekah baru-baru ini, beliau menyingkap banyak perkara yang melibatkan umat Islam.

Daripada soal menunaikan haji dan kemudahan di tanah suci, sambil meneguk teh o, Sheikh Dr. Abdulrahman menyatakan perlunya perpaduan di kalangan umat Islam, kesederhanaan Malaysia sebagai negara Islam contoh dan peranan tanggungjawab golongan muda dan wanita Islam dalam pembangunan negara.

Beliau yang juga Presiden Hal Ehwal Dua Kota Suci, turut memperkatakan soal berita palsu dan betapa Islam telah melakarkan garis panduan yang cukup jelas mengenai perkara itu yang kini menjadi suatu permasalahan termasuk di Malaysia.

Berikut adalah antara topik yang dikupas beliau seperti dicatat oleh Wartawan Utusan Othman Mohamad:

Malaysia dan Arab Saudi

Malaysia menjadi contoh terbaik dalam mencerminkan Islam dan kesederhanaan pada seluruh dunia. Islam di Malaysia sangat unik. Terima kasih kepada kerajaan dan Malaysia kerana memberi contoh terbaik kepada masyarakat antarabangsa. Juga terima kasih atas sambutan baik pihak Malaysia terhadap lawatan imam-imam Masjidilharam dan Masjid Nabawi ke Malaysia sebelum ini dan kami tertarik dengan sistem yang dirancang.

Pada masa yang sama, Malaysia dan Arab Saudi bersama-sama memerangi keganasan dan menolak ekstremisme, malah pendirian kedua-dua negara dalam isu ini senada dan ia perlu menjadi contoh kepada dunia.

Jemaah haji Malaysia

Keistimewaan jemaah haji Malaysia jelas. Mereka sangat tertib dan berhemah. Sangat teratur dan penyelarasan yang sempurna. Kami menghargai peranan Tabung Haji.

Arab Saudi turut memanfaatkan pengalaman Malaysia dalam usaha meningkatkan lagi perkhidmatan dan sistem di tanah suci.

Kami ingin memuji contoh terbaik yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia dalam menjaga adab serta mematuhi peraturan semasa berada di tanah suci. Ia boleh menjadi teladan kepada jemaah haji keseluruhan.

Kemudahan di tanah suci

Isyaallah projek pemulihan dan menaiktaraf telaga zamzam selesai minggu ini. Pembukaan kawasan tawaf yang baru di Masjidilharam minggu ini, mampu menampung 107,000 jemaah dalam satu jam.

Juga projek pembesaran fasa ketiga Masjidilharam akan siap untuk menyambut tetamu Allah pada Ramadan ini. Ia dapat menampung 1.6 juta orang pada satu-satu masa.

Ini semua turut membuktikan kerajaan Arab Saudi telah berusaha sebaik mungkin dalam menjaga dua kota suci ini (Masjid Nabawi juga sedang diperbesarkan).

Ia sekaligus menolak dakwaan sebahagian pihak yang cuba mewujudkan keraguan tentang tanggungjawab Arab Saudi berkaitan perkara tersebut, sehingga mahu mengantarabangsakan tanah suci. Perkara ini membuka ruang kepada berita tidak benar serta mencemarkan kedaulatan Arab Saudi; selain daripada Allah telahpun memuliakan Arab Saudi dengan dua kota suci – Mekah dan Madinah yang tidak dimiliki oleh pihak lain.

Generasi muda

Soal ini sangat penting. Mesej untuk pemuda dan pemudi Islam adalah kepentingan dan kemestian memahami Islam sebenar. Mereka perlu mampu membezakan antara ekstrem dan kesederhanaan pada zaman moden ini. Cabaran besar bagi pemuda dan pemudi sekarang ialah kebanyakan mereka ‘tenggelam’ daripada memahami mesej Islam sebenar.

Mereka perlu menggunakan ilmu dalam menghadapi cabaran nafsu dan syubhah. Mereka perlu bangga dengan Islam dan sentiasa menunjukkan imej dan semangat Islam dalam pelbagai bidang.

Peranan wanita Islam

Setiap umat Islam mesti merujuk syariat Islam dan maqasidnya dalam kemaslahatan kehidupan seharian. Islam tidak menghalang umatnya termasuk wanita untuk maju ke hadapan dan menaiktaraf kehidupan. Justeru Islam dijadikan sebagai panduan sepanjang zaman.

Bagaimana kita hendak memimpin umat Islam seluruh dunia, sedangkan mereka (wanita Islam) diasingkan dan dijauhkan daripada pembangunan dan perkembangan semasa. Dalam melihat kemajuan dan masa hadapan Arab Saudi, kita akan terus memanfaatkan mereka.

Kaum wanita mempunya darjat dalam Islam dan ia memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling berdasarkan syariat Islam.

Pandangan tertutup terhadap kaum wanita adalah pandangan yang tidak baik. Pandangan yang sangat terbuka sehingga tidak berdasarkan Islam dengan meninggalkan hijab dan kemuliaan wanita, juga tidak tepat dalam Islam. Yang perlu ada dalam diri wanita Islam adalah mengekalkan kesederhanaan.

Dalam hal ini wanita Saudi dan wanita Malaysia merupakan contoh sebenar dalam mencerminkan imej wanita Islam.

Berita palsu

Islam, melalui al-Quran dan Sunnah, telah mengajar kita cara-cara menerima sesuatu berita. Malah Islam telah mengajar kita menghadapi berita palsu sejak awal, sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Zaman sekarang (hal ini) sangat mencabar termasuk melibatkan media baru. Tanggungjwab dan kredibiliti wartawan dan mereka yang menulis sangat penting dalam menyampaikan sesuatu khabar atau berita.

Firman Allah di dalam surah al-Hujurat ayat ke-6 bermakdsud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berkata, maka selidiklah untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – ekoran kejahilan kamu, sehing-ga menjadikan kamu mesyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Surah al-Nur ayat 12 yang bermaksud: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan wanita, hendaklah menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri.”

Surah al-Nur ayat 16 pula bermaksud: “Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (ya Allah daripada mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah). Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan.”

Sabda Rasulullah pula: “Sudah cukup pembohongan berlaku sekiranya seseorang itu hanya bercerita dengan apa yang didengarinya sahaja.” – Utusan Online, 1 April 2018.

%d bloggers like this: