Najib Kata Sudah Boleh Pasang Pelita ‘Raya’

Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifestonya pada Sabtu ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambahnya, ini menandakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir tiba masanya.

Justeru beliau berpesan, rakyat kini boleh bersedia sepenuhnya untuk menyambut ‘perayaan’ tersebut.

“Semalam saya jumpa pelbagai kumpulan seperti orang muda Cina dan sebelah petang bertemu para pesilat dari seluruh negara. Rabu ini saya jumpa dengan penjawat awam, selepas itu ke Miri, Sarawak.

“7 April ini insya-Allah pelancaran Manifesto BN, bererti bahawa dah dekat dah tu hendak ‘raya’. Kita sudah boleh pasang pelita raya, di luar bandar biasanya pasang pelita pada malam tujuh likur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program pelancaran model baharu lot perumahan generasi kedua Felda di Felda Kumai, Pekan hari ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menjangkakan parlimen akan dibubarkan Jumaat ini iaitu selepas mesyuarat kabinet.

Memetik laporan China Press, ketika menghadiri festival kebudayaan di Padang Rengas semalam beliau berkata, mesyuarat Kabinet sepatutnya diadakan pada Rabu ini ditunda kepada hari Jumaat.

Katanya, sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini dan mesyuarat kabinet pada Jumaat tersebut mungkin yang terakhir bagi kerajaan penggal ini.

Nazri menjangkakan perdana menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat kabinet Jumaat ini.

Sebelum ini pemerhati politik meramalkan parlimen akan dibubar selepas laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan di Dewan Rakyat.

Laporan itu telahpun diwartakan 29 Mac lalu iaitu sehari selepas diluluskan Dewan Rakyat dengan sokongan 129 ahli Parlimen.

Mandat bagi penggal ini hanya akan berakhir pada 24 Jun depan dan pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. – 2 April 2018.