Parlimen Bubar Jumaat Ini?

Parlimen barangkali akan dibubarkan Jumaat ini iaitu selepas mesyuarat kabinet, demikian jangkaan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Memetik laporan China Press, ketika menghadiri festival kebudayaan di Padang Rengas semalam beliau berkata, mesyuarat Kabinet sepatutnya diadakan pada Rabu ini ditunda kepada hari Jumaat.

Difahamkan, ia ditunda kerana bagi memberi laluan kepada perhimpunan penjawat awam dari seluruh negara.

Katanya, sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini dan mesyuarat kabinet pada Jumaat tersebut mungkin yang terakhir bagi kerajaan penggal ini.

Nazri menjangkakan perdana menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat kabinet Jumaat ini.

Sebelum ini pemerhati politik meramalkan parlimen akan dibubar selepas laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan di Dewan Rakyat.

Laporan itu telahpun diwartakan 29 Mac lalu iaitu sehari selepas diluluskan Dewan Rakyat dengan sokongan 129 ahli Parlimen.

Mandat bagi penggal ini hanya akan berakhir pada 24 Jun depan dan pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, Dewan Rakyat mungkin dibubarkan sebelum perdana menteri melancarkan manifesto BN menjelang akhir minggu ini. – 2 April 2018.