Sidang Media Khas PM 11.30 Pagi

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengadakan sidang akhbar khas pada pukul 11.30 pagi ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Sidang akhbar khas itu bertujuan mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

RTM1 akan menyiarkan secara langsung sidang akhbar Perdana Menteri.

Desas-desus pembubaran Parlimen mula hangat apabila sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara ditangguhkan semalam.

Kenderaan rasmi perdana menteri kelihatan memasuki bangunan Perdana Putra pada 8.40 pagi.

Sebelum itu, kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinet turut kelihatan memasuki bangunan tersebut untuk menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet.

Sekumpulan jurugambar dan wartawan turut menunggu di luar perkarangan pintu masuk ke Perdana Putra seawal 7 pagi bagi membuat liputan kemungkinan pengumuman pembubaran Parlimen. – 6 April 2018.