‘Allah Hantar Malaikat Bawa IC pergi mengundi?

PAS tidak gentar untuk menghadapi mana-mana parti lawannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mereka meletakkan keyakinan bahawa Allah akan membantu  memberi kemenangan kepada parti Islam itu menegakkan syiar Islam.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd. Alawi berkata, dalam peristiwa Perang Badar Allah membantu tentera Islam dengan menghantar malaikat berkuda dan bersenjata pedang untuk memerangi musuh.

“Allah, kalau nak tolong kita, seribu cara Dia boleh tolong walaupun dalam pilihan raya, bukan berperang.

“Allah boleh tolong macam mana? Saya nak buat contoh mudah, kalau Perang Badar dulu Allah hantar malaikat bawa pedang, naik kuda pergi berperang bersama orang Islam.

“Habis lari tentera kafir walaupun mereka ramai, tentera Islam hanya 313 orang. Mereka lari sebab nampak tentera Islam yang ramai, ramai datang dari mana?

“Itulah malaikat Allah, Allah hantar nak bagi kegerunan kepada tentera kafir,” katanya ketika berceramah di Kampung Kemumin, di Kota Bharu Kelantan malam tadi.

Nor Azariza berkata, kisah-kisah karamah mujahidin berperang dibantu malaikat cukup banyak berlaku dalam sejarah perang umat Islam.

“Saya tak ada masa nak cerita, cuma nak sebut Allah ada banyak cara nak tolong hambanya yang memperjuangkan agama.

“Kalau dulu dalam Perang Badar Allah boleh hantar malaikat bersenjatakan pedang, berkuda dan berperang sekali dengan tentera Islam.

“Jadi dalam pilihan raya boleh tak Allah hantar malaikat bawa IC (kad pengenalan) beratur pergi mengundi? Boleh tak? Senang sangat tuan-tuan dan puan-puan,” katanya. – 10 April 2018.