Sekolah Diberi Cuti Peristiwa Pada 9 Mei

Semua sekolah di seluruh negara akan diberi cuti peristiwa khas pada 9 Mei yang merupakan hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, 6,941 sekolah akan dijadikan pusat mengundi pada hari berkenaan.

“Cuti adalah kepada semua sekolah kecuali Jabatan Pendidikan Negeri dan Pusat Pendidikan Daerah, mereka bekerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah ke-57 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh pengundian PRU14 ditetapkan pada 9 Mei manakala tarikh penamaan calon pada 28 April dan pengundian awal adalah pada 5 Mei.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa pada 6 April bagi memberi laluan kepada PRU14. – 10 April 2018.