Hari Pengundian PRU14 Ditetapkan Pada 9 Mei

Hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke – 14 (PRU14) ditetapkan pada Rabu 9 Mei manakala tarikh penamaan calon pada 28 April.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah selepas mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRU14 hari ini.

Mohd. Hashim berkata,  tempoh berkempen bagi pilihan raya umum kali ini adalah selama 11 hari.

Katanya, sebanyak 14,940, 624 pemilih layak mengundi pada PRU-14 kali ini berdasarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017.

Sementara itu, writ pilihanraya pula akan dikeluarkan pada 11 April ini kepada pegawai pengurus (RO) pilihan raya bagi menggariskan tugas mereka pada hari penamaan calon dan hari mengundi.

Pilihan raya kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru secara besar-besaran antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan PAS.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa pada 6 April bagi memberi laluan kepada PRU14.

PRU13 telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah parlimen dibubarkan pada 3 April.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

PRU14 adalah yang kedua di bawah kepemimpinan Najib yang akan memimpin jentera Barisan selepas mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April  2009. – 10 April 2018.