ECRL Bukti Kerajaan Komited Lakukan Perubahan Di Pantai Timur

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi antara bukti kesungguhan kerajaan untuk melakukan perubahan yang besar di negeri pantai Timur termasuk Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ECRL akan mengubah landskap ekonomi dan kehidupan rakyat di Kelantan dan seluruh negeri pantai timur dalam pelbagai bidang.

“Kalau kita nak sesebuah wilayah itu maju kita kena hubungkan wilayah itu dengan seluruh tanah air kita.

“Pengangkutan yang menghubungkan antara satu wilayah dengan wilayah lain akan membawa perubahan yang cukup ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek ECRL peringkat Negeri Kelantan di Tunjong hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Pengarah Urusan Eksekutif China Communications Construction ECRL Sdn. Bhd. Bai Yinzhan.

Dalam perkembangan lain, ketika menghadiri Majlis Bersama Rakyat Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Ketereh, Najib menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai bermuka tebal apabila membuat pusingan U dan mahu mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

PH sebelum ini pernah menghina bantuan tersebut sebagai dedak.

Najib berkata, PH perlu mencari pendekatan lain, bukannya menciplak perkara tersebut yang merupakan salah satu inisiatif terbaik Barisan Nasional (BN) bagi membantu meringankan beban rakyat.

Tambahnya, Dr. Mahathir layak digelar pelakon nombor satu apabila masih menafikan pernah menahan ‘sesiapa’ semasa menjadi Perdana Menteri dan menyalahkan orang lain di atas semua perbuatan silam.

“Baru-baru ini, Dr. Mahathir kata tidak pernah tangkap siapa-siapa. Sedangkan ketika itu sebelahnya ialah Mat Sabu. Sebelah lagi pula Azizah (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail). Mat Sabu itu siapa tangkap di bawah ISA? Datuk Seri Anwar Ibrahim mata lebam kerana siapa?

“Beliau masih boleh selamba sahaja nafi. Ini memang pelakon nombor satu. Isu Forex, Perwaja semua salah orang lain. Isu Memali salah Tun Musa Hitam. Ops Lalang salah Ketua Polis. Dr. Mahathir punya perangai semua orang lain salah,” katanya. – 11 April 2018.