Hadi Mungkin Tanding Satu Kerusi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkemungkinan hanya akan bertanding satu kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, beliau bagaimanapun belum memuktamadkan sama ada bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

“Saya akan terus bertanding, tetapi di mana, tunggu penamaan calon nanti dan kalau parti mahu saya (bertanding), satu cukuplah sebab saya sudah lama jadi wakil rakyat, hampir 40 tahun.

“PAS ramai calon muda (untuk PRU14), lebih daripada 50 peratus termasuk calon bukan Islam dan wanita yang akan ditambah berbanding PRU13,” kata Abdul Hadi yang dipetik akhbar itu.

Pada pilihan raya umum lalu, Abdul Hadi kekal menyandang kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang menewaskan calon BN.

Kerusi DUN Ru Rendang adalah kerusi yang tidak pernah dimenangi oleh BN sejak pilihan raya 1982.

Bagi Parlimen Marang, Abdul Hadi mula bertanding di kerusi itu sejak 1986 dan sepanjang tempoh tersebut, beliau menang lima daripada tujuh kali pilihan raya hingga 2013.

PAS dijadual mengumumkan calon mereka secara rasmi serentak di seluruh negara pada 19 April ini. – 11 April 2018.