PAS Kekal Baiah Talak Tiga Di Kelantan

PAS mengekalkan baiah talak tiga bagi calonnya di Kelantan, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, ia bagi memastikan tiada insiden lompat parti sekiranya terdapat wakil rakyat mereka yang tidak berpuas hati terhadap parti.

“Baiah adalah konsep kesetiaan terhadap dasar dan matlamat perjuangan parti, tidak khianat.

“Misalnya, jika seseorang wakil rakyat (PAS) tidak puas hati dengan parti, dia tidak boleh keluar (parti) kecuali letak jawatan dan bertanding pilihan raya semula.

“Walaupun jika ikut undang-undang tidak begitu, secara moralnya dia mesti letak jawatan. Sebab itulah kita mahu memperkasakan lagi sistem ini,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam laporan Utusan Malaysia.

Tegasnya, PAS kekal dengan pendirian untuk melaksanakan lafaz baiah itu meskipun ada yang berpendapat ia sudah ketinggalan zaman.

Jelasnya, wakil rakyat PAS terikat dengan janji itu selagi mereka memegang jawatan atau mereka sanggup hidup dalam kemurkaan Allah jika keluar parti tanpa mengikut syarat yang dipersetujui. – 11 April 2018.