Undi Hari Kerja, Salahkan Kerajaan

Mengikut Peraturan 15, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001) setiap orang yang memiliki kad pengenalan dan bertukar tempat kediaman ke suatu tempat yang  seseorang itu akan tinggal selama tempoh 90 hari atau lebih hendaklah membuat gantian penukaran alamat pada kad pengenalan.

Sekiranya kita mematuhi peraturan ini, maka tidak ada masalah jika Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan hari mengundi pada hari bekerja.

Ini kerana, alamat tempat mengundi mesti alamat di dalam kad pengenalan anda.

Itulah yang sepatutnya. Mengundi di tempat anda bermastautin, tempat anda cari makan. Bukan tempat yang anda hanya pulang bercuti.

Jika anda mematuhi peraturan ini, maka tidak timbul masalah jika hari mengundi jatuh pada hari bekerja. Tidak ada kesesakan melampau lalulintas akibat semua berpusu-pusu hendak balik mengundi di kampung dan tidaklah perlu minta duit tambang dari parti yang hendak anda undi.

Ingat, tanggungjawab anda ialah untuk mengundi dan mengundi untuk memilih wakil rakyat di tempat anda tinggal bukan tempat anda pulang bercuti.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke – 14 (PRU14) ditetapkan pada Rabu 9 Mei manakala tarikh penamaan calon pada 28 April.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa pada 7 April bagi memberi laluan kepada PRU14.

PRU13 telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah parlimen dibubarkan pada 3 April.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

PRU14 adalah yang kedua di bawah kepemimpinan Najib yang akan memimpin jentera Barisan selepas mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April  2009.

Beberapa pemimpin pembangkang mempersoalkan keputusan SPR yang menetapkan hari bekerja sebagai hari mengundi.

Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, hari tersebut menyukarkan bagi pengundi luar untuk pulang mengundi.

Katanya, persiapan untuk pengundi luar kawasan pulang mengundi memerlukan masa lebih awal apatah lagi mereka yang berada di luar negara.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan PRU14 jatuh pada hari Rabu sebagai tidak demokratik.

Katanya, Rabu ialah hari pertengahan minggu, semestinya menyukarkan pengundi yang bekerja dan bekerja di luar negara untuk pulang ke kampung halaman bagi membuat pilihan kerajaan.

“Rabu ialah situasi yang tidak biasa, lazimnya buat hujung minggu atau hari cuti. Ini SPR umum mengundi pada tengah minggu pasti susah untuk orang bekerja dan kerja di luar negara untuk balik mengundi,” katanya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengecam keputusan SPR itu sebagai “merompak demokrasi”.

“Tindakan ini bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah merompak hak mengundi rakyat yang berada di luar kawasan bagi membuang undi,” kata Tuan Ibrahim.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu bagaimanapun berbeza dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan ia adalah hak SPR.

Katanya, SPR mempunyai hak untuk menetapkan hari pengundian pada bila-bila masa termasuk pada hari Rabu.

Beliau berkata, apa yang penting ialah rakyat mempunyai kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemerintah negara dan jentera parti menggerakkan kesedaran pulang mengundi dalam kalangan penyokong.

“Jangan kata dia (SPR) buat begini, begitu. Kita tak mahu campur kerana itu hak dia. Dia nak adakan hari apa, kita tetap akan mengundi. Dia buat hari Jumaat sekalipun, bukan sepanjang masa kita solat Jumaat… boleh pergi mengundi,” katanya.

Agak pelik apabila ada pihak yang mempersoal atau mempertikaikan hari mengundi diadakan pada hari bekerja, seolah-olah ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Walhal semasa zaman pemerintahan Dr. Mahathir sendiri tidak semua hari pengundian diadakan pada hari cuti atau hujung minggu.

Contohnya, dalam PRU9, tarikh pembubaran parlimen ialah pada 6 April dan penamaan calon pula ialah 15 April, manakala hari pengundian pula ditetapkan pada 25 April, iaitu pada hari Selasa.

Demikian juga PRU10, tarikh pembubaran parlimen ialah 10 November dan penamaan calon pula pada 20 November, manakala hari pengundian jatuh pada 29 November, iaitu hari Isnin.

Ini bermakna tarikh pembuangan undi pada PRU9 (1995) dan PRU10 (1999) berlaku pada hari bekerja dan ia dilakukan secara berturut-turut selama dua penggal.

Jadi, 9 Mei bukan isu untuk dipolemikkan. SPR telah mengambil jalan tengah untuk berlaku adil kepada semua parti politik yang akan berentap dalam PRU14 ini.

Tarikh 9 Mei dipilih mungkin disebabkan faktor cuti hujung minggu yang tidak seragam antara negeri-negeri dalam negara ini.