Kerajaan Kelantan Akan Bermesyuarat Lulus Kawasan Balak?

Tindakan Kerajaan PAS Kelantan yang didakwa akan mengadakan satu mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dipercayai bagi meluluskan kawasan balak selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar menimbulkan persoalan orang ramai.

Tindakan tersebut terdedah selepas satu surat daripada bekas Exco kerajaan negeri Husam Musa yang memohon kerajaan negeri tidak mengadakan mesyuarat berkenaan dalam tempoh sebagai kerajaan sementara tersebar dalam media sosial.

Surat di bawah perkara ‘Pohon ketetapan Tidak Mengadakan Mesyuarat Kelulusan Balak Dalam Tempoh Sebagai Kerajaan Sementara’ itu dihantar kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Di dalam kandungan surat itu, Husam berkata, beliau difahamkan Menteri Besar ada memanggil Jawatankuasa Kecil Perhutanan bermesyuarat pada hari Isnin, 16 April depan.

“Saya juga difahamkan ada kertas cadangan untuk meluluskan permohonan-permohonan melibatkan Hutan Simpan dengan keluasan yang amat besar pada mesyuarat itu.

“Pada hemat saya, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 7 April 2018, YAB dan Kerajaan Sementara ini (caretaker) seharusnya mengelak daripada sebarang komitmen baharu, meliputi kelulusan pembalakan membawa ikatan kontrak melepasi tempoh Kerajaan YAB yang sudah berakhir,” kata Husam di dalam surat tersebut.

Tambahnya, mengikut semangat undang-undang, dengan pembubaran sesebuah DUN, seorang menteri besar dengan sendirinya menjadi “menteri besar sementara tanpa kuasa eksekutif sehinggalah kerajaan baru dibentuk dan ketua eksekutif baru dilantik”.

Bagi menguatkan justifikasi bantahan beliau dalam perkara ini, Husam telah mendapatkan pandangan daripada seorang pakar undang-undang Datuk Dominic Puthucheary mengenai isu ini.

Pakar undang-undang tersebut menjawab persoalan Husam dengan berkata “Hi Husam, a caretaker government has no executive powers and any decisions made without executive powers is unconstitutional, illegal and against the oath of office in the State constitution. You can write a letter to the MB or ask a lawyer to write and copy to the MB stating what i have said. dominic puthucheary”.

Hasil daripada penjelasan itu, beliau merumuskan, kerajaan caretaker tidak boleh meluluskan kelulusan besar yang mempunyai kesan melampaui kerajaan sedia ada.

“Selain itu, jika sekiranya ada kelulusan yang tidak boleh dielakkan, pembangkang hendaklah dirundingi kerana ada kemungkinan mana-mana pembangkang akan membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya umum. Mereka terpaksa memikul beban apa yang diputuskan sekarang.

“Dan, jika sekiranya kelulusan diteruskan, satu klausa hendaklah dimasukkan untuk menyatakan kelulusan itu boleh ditarik balik oleh Kerajaan baru,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor.

Justeru beliau mencadangkan, Menteri Besar membatalkan mesyuarat berkenaan atau mana-mana mesyuarat yang membawa kesan seperti itu.

“Saya juga ingin menegaskan, jika mesyuarat berkenaan diteruskan, saya mohon untuk hadir memerhati perjalanan mesyuarat itu bersama peguam saya atas kapasiti sebagai Pembangkang di negeri ini,” katanya.

Salinan surat itu turut dihantar kepada Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan, pengerusi parti Pembangkang Negeri Kelantan dan media.