PAS Kelantan Dijangka Pertaruhkan Lebih Tiga Calon Wanita

PAS Kelantan dijangka mempertaruhkan lebih daripada tiga calon wanita dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pengumuman rasmi bakal calon yang akan mewakili PAS akan dibuat pada 19 April ini.

“Saya boleh mengesahkan calon wanita bertambah dari sedia ada, sebelum ini tiga orang,” katanya.

Kenyataan Takiyuddin itu sekali gus menyangkal dakwaan kononnya parti Islam itu akan mengurangkan pencalonan wanita di Kelantan.

Pada PRU13, PAS Kelantan meletakkan empat calon wanita iaitu tiga bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen.

Mereka memenangi kesemua kerusi yang ditandingi.

Calon berkenaan ialah Mumtaz Md. Nawi (DUN Demit), Wan Ubaidah Omar (Kijang), Rohani Ibrahim (Tanjong Mas) dan Siti Zailah Yusoff (Parlimen Rantau Panjang).

Berdasarkan senarai penuh calon PAS yang dikatakan bocor baru-baru ini, Mumtaz, Ubaidah dan Rohani tidak tersenarai sebagai calon pada pilihan raya umum ini.

Ia bagaimanapun dinafikan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

DUN Kelantan dibubar serentak dengan Dewan Rakyat 7 April lepas bagi memberi laluan kepada PRU14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 9 Mei dan hari penamaan calon pada 28 April.

PRU14 bakal menyaksikan saingan sengit tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PAS dan Pakatan Harapan yang akan menggunakan logo PKR. – 12 April 2018.