PKR Jadi Alat DAP

Penggunaan logo PKR oleh Pakatan Pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak memberi kelebihan kepada parti itu, sebaliknya ia hanya menguntungkan DAP.

Dengan kata lain, DAP kini telah berjaya memperalatkan PKR secara halus dalam meraih sokongan undi orang Melayu.

“Kita lihat dari sudut lain, PKR dijadikan alat DAP untuk meraih undi Melayu. Maknanya PKR diperkudakan oleh DAP. Inilah buktinya,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jasamu Dikenang dan Penyerahan Tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat di Kota Bharu Kelantan hari ini.

Mohd. Faudzi akan bersara wajib pada 14 April ini dan jawatan tersebut akan digantikan oleh Datuk Nazran Muhammad yang sebelum ini merupakan Pengarah Tanah dan Galian Kelantan.

Mohd. Amar menyeru orang Melayu agar tidak tertipu dengan strategi yang digunakan gabungan Pakatan Harapan yang hanya bertujuan untuk mengaburi mata rakyat.

“DAP sendiri mengaku dia nak guna lambang PKR untuk mengelabukan mata pengundi Melayu. Jadi kita harap semua pengundi Melayu tidak tertipu dengan strategi DAP ini,” katanya.

Selasa lalu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata parti itu bersetuju untuk menggunakan logo PKR pada PRU14 ini untuk meraih lebih banyak undi masyarakat Melayu. – 12 April 2018.