Chegu Bard Didakwa

Chegu Bard dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menerbitkan kenyataan yang menghasut berkaitan dengan Sultan Selangor menerusi laman media sosial Facebook Januari lalu.

Bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, 39, dituduh di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Mengikut pertuduhan, Badrul Hisham didakwa membuat tujuh kenyataan menghasut menerusi laman sosial Facebook kira-kira pukul 5 petang di No.47, Jalan Kuarza 7/9, Seksyen 7, Shah Alam pada 11 Januari 2018.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta 15 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. – 13 April 2018.