Mahfuz Tanding Pokok Sena

Datuk Mahfuz Omar diumumkan kekal bertanding kerusi Parlimen Pokok Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Mahfuz merupakan diantara 13 orang calon dari parti PAN yang akan bertanding di Kedah pada pilihan raya itu nanti.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, calon-calon itu akan bertanding di 13 kerusi merangkumi tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, bagi dua lagi kerusi parlimen, PAN mencalonkan Naib Ketua Pemuda PAN Kedah, Mohd. Khairizal Khazali bertanding di parlimen Padang Terap dan Anggota Jawatankuasa Pimpinan PAN Sik, Azli Uda bertanding di Parlimen Sik.

Mat Sabu mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis ceramah perdana di Hutan Kampung dekat Alor Setar malam tadi.

Sementara itu bagi kerusi DUN, Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang sebelum ini merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor diumum bertanding di Alor Mengkudu.

Pengerusi PAN Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh pula akan bertanding di Pengkalan Kundor.

“DUN Kota Siputeh akan ditandingi Naib Pengerusi AMANAH (PAN) Kedah, Dr. Salmee Said, Ketua Pemuda AMANAH Mohd Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan), bekas Anggota Parlimen Jerai Mohd. Firdaus Jaafar (Tokai), bekas setiausaha kerja UMNO Kedah Zahran Abdullah (Sungai Limau),” katanya.

Di Belantek, PAN mengumumkan Abdul Rashid Abdullah sebagai calon di kawasan itu, Naib Pengerusi III PAN Kedah, Johari Abdullah (Kupang), Ketua PAN Kawasan Padang Serai Abd. Razak Salleh (Merbau Pulas) dan Ketua PAN Kawasan Sungai Petani Rosli Yusof bertanding di Pantai Merdeka. – 13 April 2018.