PAN Cabar Takiyuddin, Mohd. Amar Jangan Lari

PAN mencabar dua pimpinan utama PAS supaya tidak lari daripada kerusi yang disandang mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Dua pemimpin tersebut ialah Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

Mohd. Amar adalah penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor dan Takiyuddin Parlimen Kota Bharu.

Pengerusi PAN Kelantan Wan Abd. Rahim Wan Abdullah berkata, parti itu kemungkinan besar mempertaruhkan Husam Musa di Parlimen Kota Bharu manakala calon muda, Hazmi Hassan di DUN Panchor.

“Bagi DUN Panchor kami memberi peluang kepada calon muda iaitu Ketua Pemuda AMANAH (PAN) Kelantan Hazmi Hassan menjadi giant killer.

“Harap-harap YB Panchor tak lari ke tempat lain,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menjadi penyandang bagi DUN Panchor selama tiga penggal.

Sementara itu, Takiyuddin memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu pada PRU13 dengan majoriti selesa iaitu 15,970 undi  menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan calon bebas, Mohd. Zakiman Abu Bakar.

Wan Abd. Rahim berkata, PAN bakal meletakkan calonnya di 23 kerusi DUN dan lima parlimen pada PRU14 ini.

“Calon-calon kita terdiri daripada golongan profesional daripada pelbagai bidang antara doktor pakar, peguam, dan komposisi termasuk daripada calon muda dan wanita,” jelasnya. – 13 April 2018.