PRU14: Kesedaran Rakyat Jadi Momentum BN Rampas Kelantan

Kesedaran rakyat Kelantan akan kegagalan PAS selama 28 tahun bakal memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menawan kembali negeri itu daripada PAS.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perubahan itu turut berlaku kepada pengundi luar yang akan memberi sokongan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Perubahan dalam kalangan pengundi luar ini adalah hasil gerakan bersepadu yang dilancarkan BN Kelantan di kawasan Lembah Klang dan Johor sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Bantu Rakyat dan perasmian Jalan Perhubungan Desa Padang Selising ke Padang Raja, di Machang Kelantan.

Mengenai calon yang akan bertanding di negeri itu, Ahmad Jazlan yakin tidak akan berlaku perebutan memandangkan anggota parti sentiasa akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti.

Katanya, pada pilihan raya umum kali ini, BN Kelantan mempertaruhkan calon yang terdiri daripada muka baru dan muka lama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, hari penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei. – 14 April 2018.