Pengundi DUN Kelaboran Protes Zaki Tidak Dicalon

Kira-kira 200 penyokong PAS Kelaboran tidak berpuas hati selepas wakil rakyat mereka, Mohd. Zaki Ibrahim tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Sebagai tanda protes lantaran rasa tidak puas hati itu, mereka yang diketuai Pengerusi Pergerakan Prihatin Rakyat Kelaboran, Mohd. Syafie Abdullah telah menghantar satu memorandum berkaitan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub petang semalam.

Mohd. Syafie berkata, Mohd Zaki orang yang paling layak untuk diletakkan sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran pada PRU14 ini.

“Saya telah menyerahkan memorandum itu kepada Menteri Besar pada jam 4.05 petang semalam bersama kira-kira 200 orang penyokong Mohd Zaki.

“Mohd. Zaki adalah orang muda yang mempunyai wawasan ” katanya.

Tidak berakhir dengan penyerahan memorandum itu, beberapa petugas PAS di unit peti undi Tanjung Kuala telah bertindak menurunkan papan tanda markas tersebut.

Malah, difahamkan petugas parti mula meletakkan jawatan akibat daripada keputusan itu (tidak memilih Mohd. Zaki sebagai calon).

Sementara itu, Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan mengakui nama Mohd. Zaki tidak tercalon pada pilihan raya umum kali ini dengan berkata, beliau (Mohd. Zaki) antara yang direhatkan.

“Mohd Zaki antara senarai nama yang direhatkan dalam PRU14 ini, beliau bukan digugurkan tetapi direhatkan. Dan apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan beliau.

“Keputusan dibuat oleh jemaah dan saya perlu akur dengan keputusan itu,” katanya.

Mohd. Zaki sebelum ini dikatakan antara 10 wakil rakyat PAS yang cenderung kepada PAN. – 14 April 2018.