Hadi Dedah Sebab PAS Tidak Boleh Bekerjasama Dengan PAN

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan, usul meminda perlembagaan parti Islam menjadi antara faktor utama PAS tidak boleh bekerjasama dengan parti serpihannya PAN.

Abdul Hadi membuat pendedahan itu buat pertama kalinya selepas PAN dibentuk sebagai sebuah parti politik hampir tiga tahun lalu.

Beliau berkata, sebahagian besar pemimpin PAN ialah bekas ahli PAS yang juga didakwa terbabit cuba membawa usul meminda perlembagaan parti Islam itu bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti.

Memetik laporan Sinar Harian, Ahli Parlimen Marang itu berkata, cadangan itu cuba dijadikan usul dalam Muktamar 2015 namun mendapat bantahan akar umbi termasuk ditolak dalam mesyuarat Pusat kerana ia bercanggah dengan perlembagaan PAS.

Beliau mendakwa cadangan tersebut merupakan cubaan untuk meminda perlembagaan PAS bagi memudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP.

“Sebab itu kita tolak kerjasama dengan AMANAH (PAN). Ini pertama kali saya dedahkan, dia nak ubah perlembagaan parti, sedangkan Majlis Syura Ulamak adalah badan teratas untuk buat keputusan muktamad. Ini menyebabkan ahli PAS menolak, dan selepas ditolak, dia tubuh parti baru.

“Mana boleh kurangkan kuasa yang diberikan kepada Majlis Syura, ia adalah hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS, yang kita rujuk kepada al-Quran, hadis termasuk golongan ulama. Asas perlembagaan itu jelas bercanggah,” katanya seperti yang dilaporkan.

Abdul Hadi bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu tersebut, sebaliknya bersyukur kerana mereka terbabit tidak lagi bersama PAS. – 15 April 2018.