PRU-14: Hormati Keputusan SPR

Semua pihak termasuk gabungan pembangkang PKR perlu menghormati keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukannya menjadikan perkara itu sebagai mainan politik untuk memburukkan kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, SPR pastinya mempunyai sebab yang munasabah menetapkan tarikh tersebut dan jangan melibatkan kerajaan dalam soal itu.

Beliau berkata, seperti biasa, pembangkang tidak akan berpuas hati
dan bagi mereka semuanya tidak betul termasuk dalam soal pemilihan tarikh pilihan raya ini.

“Kita mesti menghormati keputusan yang dibuat SPR ini (tetapkan 9 Mei tarikh pengundian PRU14). Ini bukan perkara yang perlu dipolitikkan,” katanya.

SPR baru-baru ini menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh pengundian bagi PRU-14 manakala, tarikh penamaan calon pula pada 28 April ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah dilaporkan berkata, tarikh 5 Mei pula diputuskan untuk hari pengundian awal dan tempoh berkempen untuk PRU-14 kali ini adalah selama 11 hari.

Mohd. Hashim berkata, sebanyak 14,940, 624 pemilih layak mengundi pada PRU-14 kali ini berdasarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017.

Tambah Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, beliau melihat sokongan pengundi kepada BN terus positif termasuk golongan muda yang diyakini tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Dalam masa sama, beliau juga menasihatkan seluruh pengundi supaya tidak takut untuk keluar menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pengundian nanti.

“Insya-Allah kita akan memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya nanti. Alhamdulilah, anak-anak muda sekarang juga banyak menyokong kerajaan,” katanya. – 15 April 2018.