Salahkan Kerajaan Langkah Terdesak Dr. Mahathir Tutup Kelemahan Sendiri

Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyalahkan kerajaan atas pembubaran sementara PPBM disifatkan sebagai langkah terdesak Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP itu untuk menutup kelemahan serta kesalahan sendiri.

Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, masalah tersebut berlaku adalah disebabkan kelemahan PPBM sendiri dan mereka tidak sepatutnya menyalahkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang hanya menjalankan tugas.

Dalam masa sama soalnya, jika kerajaan dituduh hendak salah gunakan kuasa dan mempengaruhi ROS, mengapa pendaftaran DAP atau PKR tidak dibatalkan sedangkan kedua-dua parti tersebut jauh lebih kuat daripada PPBM.

“Saya rasa PPBM ini lebih baik fokus untuk memperkasakan parti dalam mendepani pilihan raya daripada terus melakukan perkara-perkara kurang bijak semata-mata untuk mengalihkan isu,” katanya.

Baru-baru ini, ROS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 dan memperuntukkan tempoh 30 hari untuk menghantar dokumen diperlukan sebelum pendaftaran parti itu dibatalkan. – 15 April 2018.