Tsunami Melayu Pastikan Kemenangan BN

Barisan Nasional (BN) yakin dengan tsunami Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang melibatkan lonjakan sokongan kaum tersebut kepada parti itu bagi mencapai kemenangan lebih selesa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau tidak melihat akan berlaku gelombang tsunami Melayu seperti mana tsunami Cina pada PRU-13 yang banyak membantu kemenangan pembangkang.

Katanya, rakyat berhak membuat pilihan dan penilaian sama hendak pilih gabungan pembangkang PKR atau kerajaan BN yang semua sedia maklum telah memberi khidmat terbaik selama ini.

“Saya yakin dengan tsunami Melayu itu akan memastikan BN terus kekal dengan kemenangan lebih selesa.

“Adakah kita hendak pilih berdasarkan mainan emosi yang dimainkan oleh pembangkang termasuk menawarkan tawaran-tawaran tidak masuk akal dalam manifesto mereka yang pastinya rakyat sendiri boleh menilai.

“Dalam masa sama, kita sendiri boleh lihat apakah kerajaan sekarang sedang menuju kebankrapan seperti didakwa pembangkang. Kita dapat lihat, badan-badan agensi antarabangsa telah memberi penarafan terbaik terhadap ekonomi Malaysia dan situasi itu sudah cukup memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengekalkan kerajaan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Azlan yang juga Menteri Besar berkata, kebanyakan isu yang dimainkan gabungan pembangkang PKR serta manifesto mereka dilihat tidak masuk akal termasuk hendak menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Saya ingin cabar mereka gantikan GST dengan sistem yang lebih baik, di mana sistem itu dapat memastikan pihak yang tidak membayar cukai selama ini dapat membayarnya.

“Kalau benar seperti yang mereka dakwa mahu mengurangkan kakitangan awam yang berjumlah 1.6 juta itu maka betullah, potong GST potong kakitangan awam. Adakah yang ini kita mahu?,” soalnya. – 15 April 2018.